Mak, Selamat Hari Ibu!
Assalamualaikum w.b.t.
Kami seluruh warga Aidan ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua kaum ibu di mana saja anda berada.

Seorang telah datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata, “Ya Rasullullah, ibuku kini tinggal di tempatku. Maka akulah yang memberi makan minum dengan tanganku dan mengangkatnya di atas bahuku. Apakah yang demikian itu bererti aku telah membalas jasanya?” Jawab Nabi S.A.W, “Belum, belum satu pun dari jasa-jasanya. Tetapi engkau telah berbuat baik dan Allah akan memberi pahala yang besar dan banyak terhadap amalanmu yang sedikit“.
Setiap daripada kita mempunyai kisah yang tersendiri bersama ibu kita. Ada yang gembira, ada yang pahit, ada yang tak pernah berjumpa dan berkasih sayang pun, dan pelbagai lagi kisah dan ragam kat dunia ni. Tetapi walau macam mana pun, ingatlah, selain daripada datuk dan nenek kita Adam dan Hawa a.s., walau macam mana hebat pun kita, setiap daripada kita datang ke dunia ini melalui ibu kita. Itu sahaja sudah cukup untuk menjadikan kita anak yang derhaka sekiranya tidak mendoakan kabaikan untuk ibu kita.
Ibnu Abbas r.a. ketika menghuraikan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Isra’ ayat 23 dan 24 telah berkata seperti berikut: “Dilarang kamu mengherdik dan membantah kepada keduanya, umpama jika kamu sampai membuangkan kencing atau tahi ibu atau ayah, maka jangan kamu tutup hidungmu dan jangan muram mukamu sebab keduanya telah mengerjakan semua itu di masa kamu kecil“.
Di dalam kitab Al-Targhrib wal Tarhib, diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi S.A.W yang bernama Amru bin Mur’ah al-Juhaini r.a. Katanya, telah datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W dan berkata, “Ya Rasullullah, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan tuan adalah pesuruh Allah dan aku sembahyang lima waktu, aku menunaikan zakat harta dan aku berpuasa di bulan Ramadhan”. Maka sabda Nabi S.A.W. tatkala mendengar perkataan lelaki itu, “Sesiapa yang mati atas sekalian dari apa yang kamu kata itu nescaya adalah dia beserta nabi dan siddiqin dan orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat, masuk seperti ini (dan baginda membetulkan dua jarinya mengisyaratkan bahawa orang sedemikian ini akan besertanya di akhirat kelak)“.
Sabda Nabi S.A.W. lagi, “Namun ianya adalah selama dirinya tidak derhaka kepada kedua ibu bapanya. Maka jikalau derhaka kepada kedua ibu bapa, dia tidak dapat beserta mereka itu“.
Kepada kaum lelaki, renungkanlah kata-kata Rasullullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. ini, “Berbaktilah kepada orang tua kamu, nescaya kelak anak-anak kamu berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan (isteri-isteri orang), nescaya kehormatan isteri-isteri kamu terpelihara“. H.R. At-Tabrani.
hmmm…saya pernah dengar beberapa kali tentang kata-kata yang lebih kurang macam kat bawah ni,
“Berilah hadiah pada ibu kamu walaupun tiga biji batu“
…lagi satu…
“Berhadiah-hadiahan lah kerana dengan memberi hadiah itu akan menambah kasih sayang antara kamu“
Saya tak pasti lah ianya hadis ataupun kata-kata hukamah. Saya pernah beberapa kali mendengarnya dalam majlis-majlis agama dan juga melalui bacaan beberapa buku. Ada orang cakap macam ni, ada orang cakap macam tu. Tak kisahlah. Yang penting, mesej yang perlu kita semua faham sebagai hamba Allah ialah hargailah ibu kita selama-lamanya.
Sempena Hari Ibu ni, kalau pun poket dah kering sangat untuk beli apa-apa hadiah, paling kurang telefon la ibu kat kampung tu, ok? Terutamanya kalau memang selama ni jarang sangat bertanya khabar ibu di kampung tu.
Selamat Hari Ibu!
Oh! Ibu
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian
Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat ku layarkan
Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati
Ku tatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi
Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih kekasihMu
Oh! Ibu
Kau kasih sejati
Kutaburkan doa
Untukmu ibu
Ampunilah dosaku
Sejak ku dilahirkan
Hingga akhir hayatmu
Saat ini
Kuteruskan hidup
Tanpa bersamamu ibu
Ibu…
Ingat lagi tak lagu ni?





