Saya berada di Kuarters KLIA selama seminggu. Dan demam kemudiannya beberapa hari.

Dan juga saya agak sebok menyiapkan dokumen2 untuk geran2 SMIDEC dan loan MARA. Walaupun tak banyak tapi makan masa jugakla…..plus projek2 peribadi di sini dan di sini

Mari kita baca apa yang saya tulis 4 tahun lalu……walaupun skrg bukan bulan puasa, korang baca ajelah……hehehe

Ramadan, Syawal dan Pelajar di Oversea

Oleh

Iznan Shamsuddin

(artikel ini termuat dalam Idealis Mahasiswa)

Hari raya di perantauan amatlah berlainan gaya dan cara sambutannya, terutama bagi pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Demi bangsa, agama dan negara, hari raya ditempuh dengan perasaan yang bercampur baur sedih dan gembira. Adakalanya pagi raya bertindih dengan tarikh peperikasaan dan kelas yang tidak boleh tidak keputusan win-win
situation perlu dibuat.

Suasana Syawal diperantauan disambut secara sederhana. Bagi pelajar-pelajar Malaysia di negara seperti Britain,Amerika, Mesir,Jepun mahupun Indonesia; hari raya pasti agak meriah berbanding sambutan di negara-negara seperti Russia, Korea, Perancis atau Jerman jika bilangan pelajar dan suasana kunjung mengunjung dijadikan indikator.

Walaupun sedemikian kelebihan tetap ada kepada pelajar-pelajar yang tinggal dalam komuniti kecil. Pergaulan dan semangat yang dihayati dalam bulan Ramadhan bersama penganut Islam dari pelbagai bangsa menjadikan hubungan persaudaraan sesama Muslim bertambah erat dan
rapat.

Disamping bertukar pendapat dan buah fikiran, pemandangan kepada perkembangan ehwal semasa bertambah luas. Pelajar tidak terkongkong dengan senario alam Melayu dan Malaysianya sahaja.

Pergaulan dan interaksi yang wujud melalui solat terawih,tadarus-usrah dan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadhan menambahkan lagi kemeriahan berpuasa di perantauan. Jika berusrah tidak hanya bertumpu kepada yang hijau sahaja, malah berkembang biak kepada merah, biru ataupun putih.

Berita sedih kemalangan yang menimpa dua pelajar perempuan di Ann Arbor USA semasa pulang dari majlis di masjid, sedikit sebanyak mencuri perhatian ramai. Apatah lagi ketika ramai di antara kita sedang sebok membuat persiapan Syawal.

Namun disebalik kejadian tersebut, tetap tersembunyi hikmah yang pastinya memberi ketenangan kepada banyak pihak. Kejadian itu bukan sahaja memberikan petanda bahawa penghayatan Islam dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara semakin baik, malah ia juga membuktikan formula integrasi sesama kaum yang disemai baik ketika menikmati pendidikan peringkat rendah,menengah dan universiti di tanahair membrikan sedikit kejayaan.

Namun untuk dijadikan faktor kejayaan mutlak, masih amat jauh. Ini kerana hanya segelintir sahaja yang benar-benar mampu masuk dan terjun menyertai komuniti masyarakat sekeliling. Kita lebih suka masuk dan berada dalam aliran yang merosakkan akhlak dan sosial daripada terjun dan berkecimpung dalam aliran yang memberi keuntungan duniawi dan ukhrawi.

Dalam kemeriahan meyambut hari raya, ramai pelajar yang terpaksa mengorbankan kelas untuk sama-sama berada dalam saf di pagi Syawal menyata tunjuk rasa syukur sebulan berpuasa yang penuh nikmat. Namun semangat ini tidaklah diresapi dengan begitu mendalam oleh segelintir.

Rasanya tidaklah salah sekiranya meluangkan satu dua jam untuk sama-sama bertakbir dan
bersolat sunat Aidilfitri. Jika kita boleh meluang lapangkan masa untuk pergi menonton wayang, mengapa pendirian kita goyah bila tiba waktu di kala ramai yang bersujud menyembah Rabb bagi tujuan bersyukur?

Kitalah yang menentukan jatidiri dan halatuju kita sendiri.

Syawal akan pergi bersama pelbagai kenangan dan memori. Syawal akan datang lagi bersama selembar azam meningkat pencapaian diri. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari Jerman kepada semua pembaca setia IM.

This post has no comment. Add your own.

Post a comment