MEMBANGKANG ADALAH PEMBANGKANG?
(Minggu ini saya ketandusan idea untuk menulis. Jadi saya kitar semula artikel yang telah saya tulis lima tahun lalu.)
MEMBANGKANG ADALAH PEMBANGKANG?
Adalah menjadi satu perkara yang tidak matang dan kurang bijak untuk mengatakan sebuah institusi pengajian tinggi sebagai pusat pengganas hanya kerana wujud seorang yang baru disyaki terlibat dalam hal-hal keganasan.
Begitu juga halnya dalam memberi penilaian kepada pendapat dan luahan seseorang yang berbaur protes atau mempunyai unsur-unsur kritikan sebagai pembangkang dan penentang.
Senario politik di tanah air tidak pernah sunyi dengan isu-isu hangat dan menggemparkan.Baru-baru ini kita dikecohkan dengan keputusan dua ADUN barisan kerajaan yang dikatakan tidak bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh rakan-rakan dari barisan yang sama.Hal berkaitan dengan bangkang,tentang dan tidak bersetuju ini adalah satu perkara lumrah dalam senario politik mana-mana negara sekalipun.Bangkang,tentang dan tidak setuju serta kritikan adalah timbang tara terhadap penerimaan dan pengaplikasian sesuatu usul dan cadangan.Kita menjadi kurang bijak jika melabel mereka yang membangkang dan tidak bersetuju ini sebagai tidak setia dan tidak patriotik.Dalam aspek ini saya masih mengkagumi kesungguhan Datuk Lee Lam Thye, bekas ahli politik pembangkang yang sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah masyarakat dan penduduk setempat.Menjadi ahli politik bukanlah semata-mata kerana kebolehan kita untuk memimpin dan menjadi juara isu-isu hangat, tetapi ia juga bergantung juga kepada kemampuan dan kesediaan seseorang untuk berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat sekeliling.
Gaya penulisan yang memberikan idea-idea yang berbaur kritikan dan bangkangan lahir dari jiwa mereka yang peka terhadap perkembangan sekeliling.Kita sering kali disumbat dengan gaya penulisan yang basi berkaitan dengan hal-hal yang remeh temeh seperti gaya kehidupan seorang artis, luahan rasa kecewa seorang yang baru putus cinta, kes-kes mahkamah syariah dan sebagainya.Tidak saya nafikan hal-hal ini juga penting sebagai santaian kepada pendapat-pendapat ilmiah, namun ia seolah-olah mendapat tempat di hati ramai.Sering kali disalah tafsir anak-anak muda yang ingin didengari suara mereka sebagai mereka yang tidak hormat dan patuh.Mereka ini dicop sebagai penentang dan pembangkang.Perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat yang celik politik dan mengaku mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Kehadiran anak-anak muda seperti ini tidak harus dianggap sebagai saingan untuk merebut jawatan dan populariti murahan oleh mereka yang sedang duduk di atas.
Perkara ini jarang-jarang berlaku di negara-negara maju seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.Saya masih bersetuju dengan sedikit sekatan terhadap kebebasan bersuara yang sedia ada di Malaysia, namun ia menjadi kurang relevan sekiranya sekatan ini berterusan tanpa sebarang pindaan dan pengubahsuaian. Di Eropah misalnya, anak-anak muda menjuarai isu-isu berkaitan dengan hak asasi manusia,alam sekitar dan politik semasa.Kemenangan parti AK di Turki baru-baru ini juga adalah hasil kerja kuat pelajar-pelajar universiti yang sudah jemu terhadap sekatan terhadap kebebasan mengamalkan pegangan asas Islam seperti pemakaian tudung sewaktu kuliah dan pembacaan AlQuran di tempat-tempat terbuka. Begitu juga dengan kemenangan parti SPD di Germany dalam pilihanraya baru baru ini juga dibantu oleh anak-anak muda yang menentang peminggiran kepada pendatang-pendatang asing di Germany dan yang diperjuangkan oleh lawan SPD.Perkara seperti ini menunjukkan betapa tahap penerimaan masyarakat terhadap penyertaan anak-anak muda yang berdarah `panas`ini begitu baik sekali. Senario ini masih di tahap agak rendah di tanah air.Kehadiran anak-anak muda sering kali dianggap sebagai menyemak dan tidak memberikan sebarang pulangan atau hasil yang menguntungkan. Jika ada sekali pun hanyalah sebagai watak-watak sampingan seperti pelekat poster,peraih undi dan lain-lain.Amat sedikit sekali mereka yang terpilih untuk berada dalam think tank atau tangki pemikir bagi seseorang.
Lewat dasarwasa ini menyaksikan suara anak muda di tanah air mula mendapat perhatian.
Sudah wujud mereka yang mula menyedari peranan dalam menjadi pembela kepada isu-isu berkaitan kebajikan dan prihatin terhadap isu-isu semasa.Buah fikiran dan pandangan serta cadangan mereka mula diberi perhatian.Sudah tibanya masa gelombang kebangkitan ini diberi perhatian khusus. Teruskan perjuanangan yang masih belum selesai.Syabas anak muda!
Mohd Iznan Shamsuddin
Fachhochschule Albstadt Sigmaringen
Germany.
Artikel ini ditulis sekitar November 2002 ketika saya masih menuntut di Germany. Kini apa yang saya tulis enam tahun lepas menjadi sedikit sebanyak telah menjadi kenyataan. Ramai anak muda telah diketengahkan untuk menjadi pemimpin masa hadapan. TAHNIAH!





